Sunday, November 15, 2009

tazkirah : takutlah utk tidur,menyesal lah ketika bangun

Kita melalui hari-hari kita seperti biasa. Tidur, kemudian kita bangun untuk meneruskan hari-hari kita. Sudah berapa hari agaknya kita hidup di atas dunia ini? Kalaulah kita ini berumur 40 tahun, maka 40X365 hari = 14600 hari. Katalah kita tak pernah tidur siang, maka kita sudah 14600 kali tidur dan bangun.



Namun, dalam banyak kali kita bangun dan tidur ini, pernahkah anda rasa takut untuk tidur, dan menyesal pula ketika bangun?



Pernah? Mesti anda bertanya, kenapa perlu takut untuk tidur, dan menyesal untuk bangun bukan?



Takutlah untuk tidur


Siapa yang memberikan anda nyawa? Kita beriman bahawa nyawa itu adalah pemberian Allah SWT. Allah boleh menariknya bila-bila masa yang Dia suka, dan kita pula tidak tahu bila Dia hendak menariknya.



Jadi, apabila setiap kali anda tidur, apakah anda boleh menjamin anda bangun keesokan harinya? Aha… itu sebabnya, saya mengajak anda untuk takut tidur.



Bayangkan, malam ini anda tidur, dan esok tidak bangun semula. Bagaimana dengan dosa-dosa anda pada hari semalam? Hutang-hutang anda yang belum berbayar? Rakan yang anda khianati dan calari hatinya? Bagaimana semua itu, jika anda tidur dan esoknya anda tidak bangun?



Pernahkah anda, sebelum melelapkan mata, bermuhasabah sebentar apa yang anda lakukan sepanjang hari? Atau anda tidur, dengan keyakinan 100% anda akan bangun keesokan harinya, lalu anda berkata: “Esok-esok la taubat apa semua ni”



Maka tidak hairanlah, kita ini tiada peningkatan. Kerana kita sebenarnya, langsung tidak bersedia menghadapi kematian.



Menyesal lah ketika bangun


Apakah perkara dalam dunia ini, kalau kita terlepaskannya, kita tidak boleh mendapatkannya semula walau apa pun cara kita gunakan?



Satu sahaja jawapannya. – Masa –



Jadi, anda bangun pagi saban hari, pernah kah anda berfikir betapa menyesalnya anda meninggalkan hari semalam? Semalam itu, walau anda kumpul segala harta dunia ini, anda tetap tidak akan mampu mengambilnya semula.



Segala keburukan kita semalam, segala kejahatan kita semalam, segala dosa-dsa kita semalam, terpahat kemas dalam semalam. Kita tidak boleh memutar semalam, untuk memadamkan semua itu.



Pernah kah anda menyesal dengan semalam yang telah berlalu apabila anda bangun?



Kenapa perlu semua ini?


Kenapa perlu takut untuk tidur, menyesal ketika bangun?



Saya sebenyarnya hendak anda nampak apa itu kehidupan sebenarnya. Jangan pandang kehidupan kita ini enteng. Manusia ini, akan dihitung oleh Allah SWT. Maka, sebelum tidur anda muhasabah lah segala perbuatan anda, bila ada dosa bersegeralah taubat, ada hutang bersegeralah bayar, ada khilaf dengan teman-teman, segeralah bermaafan. Anda mungkin tiada esok.



Bila bangun, saya nak anda rasa anda telah membazirkan kehidupan anda semalam. Maka apabila Allah izinkan anda hidup pada hari baru, dengan penyesalan terhadap hari semalam yang telah anda bazirkan, maka anda akan gunakan hari baru anda dengan sebaik mungkin, tiada pembaziran seperti hari semalam. Semalam takkan kembali, yang ada pada kita hanya hari ini. Corakkannya sebaik mungkin.



Penutup: Hidup ini, untuk persediaan ke sana


Kenapa kena hargai hidup? Kerana Allah akan kira kehidupan kita ini. Kejayaan kita, hanyalah apabila kita dilepaskan dari api neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga. Jadi, dunia ini sepatutnya kita gunakan, bukan kita dipergunakan.



Allah SWT berfirman: “Setiap yang bernyawa akan merasai kematian, dan di akhirat sana akan disempurnakan pembalasan, siapa yang diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia telah berjaya. Tiadalah kehidupan di dunia itu, melainkan kesenangan yang menipu daya” Surah Ali-Imran ayat 185.



Jangan bazirkan hayat anda. Bersegeralah, jangan tangguh-tangguh. Hargailah, jangan anda buang-buang.



sumber : langitilahi.com



~dari meja kerohanian~

makluman terkini

assalamualaikum para sahabat...khususnya sahabat2 fisioterapi.


alhamdulillah..setinggi2 kesyukuran dipanjatkan atas limpah n kurniaNya..pd saat ini kita semua sudah melepasi satu semester sesi 2009/2010.


tahniah buat semua yg telah menharunginya dengan penuh kesabaran.


tinggal lagi pd saat ini, kita sama2 berdoa n bertawakkal agar kita semua 'dihadiahkan' keputusan yg cemerlang insyaallah.


pada sahabat2 yg sedang bercuti..selamat bercuti..manfaatkn cuti sebaik2nya.


pada sahabat2 yg sedang berpraktikal..buat sehabis baik..ok..


kami dari exco kerohanian mendoakn yg terbaik buat semua.


insyaallah pada semester hadapan, pelbagai program berbentuk ilmiah dan kerohanian akan diadakan.


diharapkn semua warga Phytas n Uitm Puncak Alam dpt menyertai program2 yg diadakan.


segala informasi dan pengumuman akan diberitahu kemudian.


sekian, terima kasih.


wassalam...



~dari meja kerohanian~

Sunday, October 11, 2009

program usrah gabungan



tauhid adalah segala-galanya


Di hadapan Kaabah… seorang suami berdoa agar Tuhan memperkenankan hajatnya untuk berpoligami. Di tempat yang sama si isteri pula berdoa agar Allah menghalang hajat suaminya. Doa keduanya saling bertentangan. Namun kedua-duanya sama ikhlas. Hati mereka sama-sama suci. Isteri berdoa agar suaminya tidak berpoligami bukan kerana menolak hukum Allah tetapi kerana dirasakan dirinya tidak mampu menanggung ujian. Dia menerima dari segi ilmu dan hukum, tapi apakan daya, diri tidak kuat melaksanakannya… Manakala si suami pula bukan didorong kerakusan nafsu atau hendak berfoya-foya, tetapi benar-benar ikhlas atas sebab-sebab yang syari’e.

Lalu, doa siapakah yang akan diperkenankan Tuhan? Wah, payahnya mengukur kemisterian takdir di neraca fikiran tadbir. Walau hanya andaian, namun hati kecil tetap inginkan kepastian. Bagaimana ya? Mungkin jawapannya begini… jika kedua-duanya sama-sama ikhlas, maka Allah akan tentukan yang terbaik untuk kedua-dua mereka. Jika berpoligami itu yang terbaik untuk mereka berdua maka itulah yang akan ditakdirkan berlaku. Sungguhpun kelihatannya hajat suami yang diperkenankan, tetapi poligami itu cepat atau lambat, pasti akan membawa kebaikan juga kepada siisteri yang tidak mahukannya.

Sebaliknya, jika poligami itu tidak baik untuk keduanya, maka Allah tidak akan takdirkan poligami itu berlaku. Mungkin pada awalnya, hanya si isteri menarik nafas lega kerana doanya diperkenankan, namun insya-Allah, si suami yang gagal berpoligami itu pun nanti akan mendapat kebaikan (walaupun hajatnya tidak kesampaian). Doa siapa yang akan diperkenankan? Itu tidak pasti. Yang pasti ialah apa yang terbaik untuk keduanya akan berlaku. Apakah pengajaran di sebalik persoalan di atas? Ya, Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Dengan akal manusia diberi keupayaan untuk menilai yang mana baik, yang mana buruk, tetapi sebijak mana pun akal… kemampuannya tetap terbatas. Justeru manusia tetap perlukan wahyu untuk memandu akalnya. Tegasnya, manusia yang ‘tidak serba tahu’ ini sentiasa perlukan Tuhan yang Maha Mengetahui untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya. Hakikat ini telah Allah tegaskan melalui firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya” Al Baqarah 216

Hakikat itu mesti sentiasa terpahat dalam hati dan fikiran manusia setiap kali berdepan dengan apa jua persoalan dalam hidupnya. Berbincang, berusaha dan putuskanlah apa sahaja… tetapi persoalan tauhid mestilah menjadi dasar pemikiran dan asas pertimbangan kita. Tuhan telah menentukan yang mana yang benar dan batil, mana yang betul dan salah, mana yang baik dan buruk. Akal manusia yang terbatas itu mestilah digunakan dalam batas-batas itu. Kebebasan akal terletak dalam lingkungan hukum Allah. Jika keluar dari lingkungan itu, bukan bebas yang dinikmati tetapi terbabas.

Umpama kipas yang berpusing. Berpusinglah selaju mungkin tetapi mestilah terikat kukuh pada dinding atau syiling. Jika pengikatnya longgar, alamat hancurlah kipas yang berpusing itu. Maka begitulah akal manusia, syiling atau dindingnya sandarannya ialah wahyu. Manakala pengikatnya ialah tauhid.

Justifikasi yang sama mesti digunakan dalam perbincangan tentang isu poligami, hudud, murtad dan lain-lain lagi. Akidah mestilah mendasari setiap perbincangan, keputusan dan tindakan. Kuasa mutlak Tuhan dalam menentukan sesuatu yang baik, benar dan betul jangan dilanggar apalagi dicabar. Misalnya, adalah jelas, Allah telah mengharuskan poligami. Dan keharusan itu diiringi pula oleh peraturan dan syarat-syarat-syaratnya. Manusia, tidak kira lelaki atau wanita, mesti menerima hukum ini dan segala syarat yang berkaitannya.

Tidak mengapa, jika akal belum nampak akan kebaikan sesuatu hukum Allah. Tetapi ingat, itu bukanlah bererti hukum Allah itu tidak baik tetapi akal sesetengah manusia yang belum mampu melihat akan kebaikan itu. Sepertimana kita mampu melihat seluruh bintang di langit, bukan kerana bintang itu tidak ada ataupun ia tidak bercahaya, tetapi pandangan kita yang dilindungi awan atau mata tidak berupaya melihat kerana kejauhan. Begitu juga hukum Allah, tentu ada kebaikan yang menjadi sebab Tuhan mewajibkan, menghalalkan atau mengharuskannya. Jangan jadi seperti kata pepatah, tidak tahu menari dikatakan lantai tinggi rendah.

Poligami misalnya, dihalalkan dengan syarat-syarat yang ketat. Hanya si suami yang mampu memberi nafkah (zahir dan batin) dan mampu berlaku adil kepada isteri-isteri diharuskan melakukannya. Maksudnya, pintu poligami hanya terbuka untuk ‘lelaki-lelaki istimewa’ dan pada keadaan dan syarat yang istimewa juga. Dan begitu juga, bagi pihak wanita. Walaupun pengorbanan yang agak tinggi diperlukan, namun pasti ada juga sebilangan ‘wanita istimewa’ yang sanggup dimadukan. Tuhan Maha Mengetahui hakikat ini, maka atas dasar itulah poligami dihalalkan.

Adalah tidak adil bagi Tuhan untuk menutup pintu poligami dengan meminggirkan situasi, kondisi serta insan yang benar-benar mahu, mampu malah kadangkala terdesak untuk melaksanakannya. Untuk mereka inilah syariat diturunkan. Bukan untuk manfaat kaum lelaki sahaja, malah untuk kaum wanita juga. Pintu ini tidaklah dibuka seluas-seluasnya sepertimana perkahwinan monogami, tetapi dirapatkan sedikit agar tidak dilalui sewenang-wenangnya. Ia umpama ‘pintu kecemasan’ yang terbuka bila keadaan mendesak. Bayangkan, bagaimanakah keadaannya bila sebuah bangunan atau kenderaan besar terbakar, tanpa pintu kecemasan?

Poligami tidak boleh dipersalahkan hanya kerana ada segelintir lelaki ‘hidung belang’ yang memperalatkannya untuk tujuan jahat. Yang salah, pelakunya bukan subjeknya (poligami). Jika logik yang sama digunakan, mungkinkah nanti akan tiba pada satu keadaan yang sangat ekstrem yang mana monogami juga hendak diharamkan bila terdapat ramai lelaki memperalatkannya untuk melaksanakan tujuan-tujuan jahatnya.

Ya, di dunia masa kini bukan sahaja ramai di kalangan lelaki berpoligami tidak berlaku adil, malah ramai juga lelaki bermonogami sudah tidak mampu lagi melaksanakan tanggung-jawab dan kewajiban sebagai suami. Maka ketika itu apa tindakan kita, mengharamkan monogami? Begitulah juga halnya dengan poligami, ia tidak boleh dipandang negatif hanya kerana kesalahan para pelaksananya.

Pihak yang anti-poligami, sebenarnya bukan sahaja menentang sesuatu yang dihalalkan oleh Tuhan, tetapi turut menganiaya nasib wanita lain yang perlukan pembelaan. Apa yang sebenarnya perlu diperjuangkan ialah keadilan pihak lelaki (tidak kira yang berpoligami mahupun yang monogami). Tuntutlah agar lelaki berlaku adil dan menjalankan peranannya sebagai suami dan berkempenlah untuk itu. Tidak salah wanita memperjuangkan sesuatu yang memang telah diperuntukkan oleh Allah buat mereka tetapi masih belum ditunaikan oleh kaum lelaki.

Inilah yang telah diperjuangkan oleh kaum wanita pada zaman Rasulullahlah s.a.w. dan para sahabat. Kita telah lihat bagaimana kepetahan seorang wanita bernama Asma’ ketika memperjuangkan status wanita yang tidak berpeluang berjihad ke medan perang seperti suami-suami mereka. Kita juga mendengar bagaimana Hindun isteri Abu Suffyan yang bertanya tentang perbuatannya mengambil wang dari suaminya yang kedekut. Begitu juga kisah seorang wanita yang menegur Sayidina Umar tentang nilai maskahwin wanita.

Berat atau ringannya hukum Allah ini kekadang tergantung pada kekuatan tauhid seseorang individu untuk melaksanakannya. Kadangkala ada seseorang individu atau sesuatu kaum yang merasa mudah melaksanakan sesuatu hukum, tetapi hukum yang sama terasa payah pada seseorang atau kaum yang lain. Manusia diciptakan berbeza keupayaan, maka berbeza pulalah penanggungan mereka dalam melaksanakan sesuatu suruhan atau larangan daripada Tuhan. Namun, manusia mesti menerima hukum itu dengan rela selaras dengan sifat kehambaannya, walaupun kadangkala terdapat kecuaian, kelemahan dan kekurangan dari segi pelaksanaannya. Firman Allah:
“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar menghukum (mengadili) di antara mereka, ialah ucapannya, “kami mendengar dan kami patuh.” An Nuur 51

Adalah salah jika kita tidak melaksanakan hukum Tuhan, tetapi adalah lebih bersalah jika kita menolak terus kewajipan sesuatu hukum itu. Katalah, solat – hukumnya wajib. Adalah berdosa jika kita tidak melaksanakannya, namun adalah lebih berdosa jika kita menolak terus kewajipannya. Sama juga dengan poligami, hudud dan sebagainya. Soal kita melaksanakannya atau tidak itu satu hal, tetapi soal mengingkari status hukumnya itu satu hal yang lain pula. Justeru, usahlah hendaknya kewajaran sesuatu hukum Allah diperdebatkan atau didiskusikan tanpa dikaitkan dengan soal tauhid!